PAFA

Penilaian PAFA Sekolah Rendah


Para ilmuan Islam membahagikan ilmu kepada beberapa kategori berdasarkan kepada sumber pemerolehan dan hierarki keutamaannya. Antara pembahagian ilmu yang sangat asas ialah klasifikasi di antara ilmu naqli dan aqli serta ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah.

Ilmu fardhu ain ialah tuntutan wajib yang dikenakan ke atas setiap individu mukallaf dan ilmu fardhu kifayah pula ialah tuntutan wajib yang dikenakan ke atas sesuatu kelompok. Dari sudut tertibnya, ilmu fardhu ain seharusnya didahulukan daripada ilmu fardhu kifayah manakala dari segi keutamaan, ilmu naqli bersifat teras dan ilmu aqli adalah pelengkapnya. Ilmu sememangnya sentiasa berkembang. Namun ilmu fardhu ain yang terkandung di dalamnya konsep-konsep asas Islam adalah tetap dan tidak berubah-ubah. Manakala ilmu fardhu kifayah yang bersumberkan pemikiran sentiasa berubah-ubah.

Justeru, setiap ilmu ini perlu dipelajari mengikut susunannya yang tertentu supaya kandungan pendidikan tidak menjadi berkecamuk dan mengelirukan serta tidak menurut aturan yang sepatutnya. Pendidikan Islam perlu memberi ruang kepada kedua-dua jenis ilmu iaitu dari aspek sumber; wahyu (naqli) dan pemerolehan (aqli), dan dari aspek hierarki; fardhu ain dan kifayah.

Dalam konteks kurikulum pendidikan Islam khususnya di Malaysia, ilmu fardhu ain ialah ilmu-ilmu asas agama yang bersumberkan wahyu. Ilmu ini mesti diajarkan kepada semua pelajar muslim di setiap peringkat pengajian sehinggalah ke tahap universiti.

 

Tujuan

Beberapa perkara yang terpenting daripada fardu ain dan berkaitan dengannya yang terkandung dalam DSKP Pendidikan Islam, dan hendaklah dipastikan supaya setiap murid benar-benar mengetahui, memahami dan boleh mengamalkannya dengan betul dan sempurna sebagaimana yang dikehendaki dan dituntut oleh syarak.

Melalui PAFA, perkara yang hendak dicapai oleh setiap murid ialah:

1. Boleh mengucap Dua Kalimah Syahadah dengan betul dan mengetahui serta memahami ertinya.
2. Mengingat dan memahami Rukun Islam dan Rukun Iman.
3. Mengetahui, memahami dan boleh mengamalkan bersuci daripada beristinjak membersihkan tubuh badan, pakaian dan tempat daripada najis, berwuduk, mandi wajib dan tayammum.
4. Boleh mendirikan solat fardu dan yang berkaitan dengannya seperti azan, iqamah, menjawab azan dan iqamah serta doanya.
5. Mengetahui dan menghayati ibadat puasa, memahami hikmatnya dan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
6. Mengetahui dan menghayati akhlak yang mulia berasaskan Ihsan dan bertolak daripada Birrul Walidain.
7. Memahami dan meyakini sistem kekeluargaan Islam dalam pembentukan umat yang kuat dan teguh.


Peraturan

1.   Penilaian Perkara Asas Fardhu Ain (PAFA) dijalankan dalam ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), dan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

2.   Penilaian Perkara Asas Fardu Ain (PAFA) dikendalikan sepenuhnya oleh sekolah.

3.   Penilaian dijalankan sendiri oleh guru mata pelajaran Pendidikan Islam di kelas masing-masing sebagai proses penilaian biasa dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P).

4.  Penilaian dijalankan secara lisan dan amali mengikut sebagaimana yang telah ditetapkan.

5.    Soalan dan jawapan penilaian adalah sebagaimana yang telah ditetapkan dalam laman web ini. Soalan dan jawapan tersebut tidak rahsia. Murid-murid hendaklah diberitahu lebih awal.

6.    Tempuh penilaian bermula dari hari pertama pada penggal pertama persekolahan dalam tahun peperiksaan berkenaan, dan berakhir sebulan sebelum tarikh peperiksaan bertulis dijalankan.

7.   Sepanjang tempuh penilaian tersebut, murid hendaklah diberi masa, peluang dan bimbingan yang secukupnya untuk mengulang, memperbetulkan dan memperbaiki kesalahan dan kelemahan sehingga mereka dengan sendirinya faham dan dapat mengamalkan sesuatu kelemahan dengan jaya, betul dan sempurna.

8.   Pencapaian murid hendaklah dicatat dari masa ke semasa secara kemaskini dalam Borang Individu dan Borang Berkelompok. Catatan tersebut adalah rekod bagi proses dan keputusan penilaian yang dicapai oleh murid/pelajar.

9.   Suatu penyetaraan akan dijalankan oleh Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri/ Bahagian/ Daerah sebagai sebahagian dari tugas penyeliaan harian biasa. Penyetaraan adalah untuk tujuan pengesahan dan pelaporan penilaian.

10.  Pencapaian LULUS dalam sesuatu KOD/TAJUK ialah apabila murid faham dan dapat mengamalkan kemahiran sekurang-kurangnya pada tahap keupayaan yang PALING MINIMUM  sekira-kira 'SAH' di segi Syara'.

11.  Murid /Pelajar diakui LULUS dalam keseluruhan penilaian Perkara Asas fardu Ain apabila mereka berjaya memahami dan mengamalkan semua KOD/TAJUK soalan yang ditetapkan.

12.  Pihak sekolah hendaklah melaporkan keputusan penilaian kepada Lembaga Peperiksaan Kementerian Penidikan menurut prosedur biasa yang ditetapkan.

13.  Kementerian Pendidikan akan melaporkan pernyataan 'LULUS' atau 'GAGAL' dalam keputusan atau sijil peperiksaan. Pernyataan tersebut tidak mengubah atau menjejaskan sistem penggredan dan aggregat keputusan peperiksaan yang sedang berjalan sekarang.



Pelaksanaan